Laporan : Justin Sunam Wong
Kota Kinabalu, 27 October 2021(Rabu) : Susulan taklimat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Keningau kepada YB Puan Flovia Ng pada 30 Jun 2021 (laporan di sini), YB Puan Flovia telah menerima pelawaan untuk meninjau menara pemancar baru yang siap dibina di tapak Kg Mansiat selasa semalam.
Menara di Kg Mansiat ini adalah salah satu pemancar baru di dalam rancangan peningkatan liputan jaringan telekomunikasi oleh SKMM untuk DUN Tulid di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Perkara ini telah dibincang dengan YB Puan Flovia pada 30 Jun 2021 dengan rombongan Pegawai SKMM Cawangan Keningau, Tuan Moris Miting@Maiting dan beliau telah mempelawa YB Puan Flovia untuk meninjau sendiri menara baru yang telah siap dibina dan beroperasi sejak September 2021.
Difahamkan pembinaan menara di Kg Mansiat ini telah dilaksanakan oleh FGV Prodata System Sdn Bhd dengan pemasangan dan pengelolaan sistem transmisi oleh syarikat UMobile di bawah penyeliaan SKMM ini telah siap dibina pada bulan September 2021 sebelum tarikh jangka tamat projek ini pada bulan Disember 2021. Pegawai SKMM Tuan Moris merakamkan penghargaan keatas kerjasama dari jentera akar umbi kerajaan tempatan khususnya pihak Pejabat Wakil Rakyat N44 Tulid merangkap Pembantu Menteri II Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat(KPMKR), YB Puan Flovia Ng yang telah mempermudahkan kerja-kerja perlaksanaan.
Dalam satu kenyataan, YB Puan Flovia juga telah menzahirkan rasa penghargaan keatas perkembangan positif ini.
“Saya berharap kerajaan Persekutuan melalui pihak SKMM akan meneruskan usaha melaksanakan inisiatif JENDELA di DUN Tulid agar rakyat disini dapat memanfaatkan rancangan kerajaan negeri menuju ke arah Kerajaan Digital menjelang 2024.”
Beliau yakin dengan keberadaan infrastuktur ini sudah tentu akan bakal menjadi salah satu pemangkin untuk peningkatan dan penambahan kepelbagaian aktiviti ekonomi setempat di mana rakyat di DUN Tulid bakal boleh memanfaatkan dan bukan saja menjadi pemerhati dalam aktiviti ekonomi digital.
Sementara itu, Ketua Kampung Kg Mansiat Encik Lebby Marasim yang turut hadir telah juga merakamkan penghargaan penduduk Kg itu dengan adanya kemudahan itu.
“Kami kini bukan saja boleh berhubung dengan orang di luar kawasan kami malah kanak-kanak kami kini boleh mengikuti pembelajaran atas talian tanpa masalah. Kami sungguh bersyukur dengan pihak kerajaan.” Ujar beliau.
Tuan Moris juga memberi keyakinan kepada YB Pn Flovia yang pihaknya juga sedang giat menaiktarafkan infrasturktur telekomunikasi sedia ada yang berkebolehan 3G ke 4G di bawah program “3G Sunset” di samping membina menara baru seperti dalam pelan rancangan mereka untuk DUN Tulid.
Pihak YB Puan Flovia Ng dan UPPM DUN N44 Tulid pula menyatakan kesedian mereka untuk mempermudahkan kerja-kerja perlaksanaan oleh pihak SKMM.
Turut mengiringi YB Pn Flovia Ng adalah kesemua barisan pemimpin UPPM N44 Tulid yang diketuai oleh PPM Tuan Casmir Silip.